UCAPAN Y.B. MENTERI SUMBER MANUSIA
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
"INTERACTIVE MULTIMEDIA COMPUTER AIDED TRAINING"
ANJURAN MATAC DI HOTEL PARK PLAZA INTERNATIONAL, KUALA LUMPUR
PADA 25 FEBRUARI 2000

================================================================

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucap terima kasih kepada pihak MATAC kerana sudi mengundang saya ke Majlis Pelancaran "Interactive Multimedia Computer Aided Training" anjuran "Malaysian Textile and Apparel Centre (MATAC)".

Dalam arus kemajuan dunia tanpa sempadan kita perlu lebih kompetitif dalam usaha untuk terus hidup dan berjuang bagi merubah cara hidup masyarakat, corak sosio ekonomi dan sosio-politik negara kita. Penggunaan Teknologi Maklumat dalam urusan perniagaan harian dapat membantu untuk mengekal atau meningkatkan lagi daya saing perkhidmtan dan barangan kita di peringkat pasaran antarabangsa.

Pertumbuhan yang pesat dalam industri tekstil dan pakaian telah menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap operator jahitan dan staf-staf teknikal seperti rekabentuk dan pemotongan yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Usaha untuk memenuhi permintaan ini bukan sahaja terletak kepada tanggungjawab institusi-institusi latihan kerajaan tetapi juga pada pihak institusi-institusi latihan swasta dan industri sendiri. Latihan semula dapat menambahkan lagi kemahiran seseorang pekerja dalam menjalankan pelbagai tugas.

Saya ingin mengingatkan bahawa dengan termeterainya "Multi-Fibre Arrangement (MFA)" pada tahun 2005, pengusaha-pengusaha industri tekstil perlu menghadapi cabaran untuk terus berusaha menjadi lebih kompetitif dalam menghasilkan produk yang lebih baik dan berkualiti pada harga yang lebih murah.

Saya telah difahamkan bahawa masalah utama yang membendung pengusaha-pengusaha industri tekstil dan pakaian ialah kesukaran untuk melepaskan pekerja khususnya operator jahitan di luar premis majikan kerana jadual kerja yang ketat. Di samping itu, kekurangan kemudahan peralatan latihan untuk melatih pekerja baru juga turut menghalang aktiviti latihan kerana tidak semua syarikat mampu untuk menyediakan tempat latihan yang serba lengkap.

Skim Latihan Berbantu Komputer ini merupakan salah satu penyelesaian yang terbaik dalam menangani masalah majikan tersebut. Pembangunan sistem perisian latihan berbantukan komputer boleh meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tanpa banyak bantuan pengajar. Latihan berbantu komputer juga boleh mengurangkan kos latihan sehingga 60%. Dengan penggunaan komputer sebagai media latihan, kos latihan dapat dikurangkan kerana ianya dilaksanakan di tempat majikan sendiri dan tidak memerlukan tenaga pengajar yang menggunakan teknik latihan konvensional yang mana kos latihan adalah jauh lebih tinggi. Ianya juga dapat mengurangkan jumlah jam latihan yang diperuntukkan. Proses latihan memakan masa yang lebih singkat kerana pelatih mampu memberikan konsentrasi yang lebih tinggi dengan kefahaman yang lebih cepat dan tepat. Latihan berbantukan komputer juga boleh dibuat semasa lepas pejabat. Dengan cara ini, pihak pelatih dapat memberikan tumpuan yang lebih terhadap jadual kerja yang sedia ada di samping mendapat latihan yang sewajarnya.

Latihan Berbantu Komputer juga dapat dijadikan sebagai satu dorongan untuk menerapkan mentaliti "zero-defect" dalam operasi pengeluaran. Perkara ini seterusnya dapat meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti pekerja yang mempunyai sikap kerja yang lebih positif. Teknik latihan yang serba moden ini dapat meningkatkan motivasi pekerja agar mereka mampu memberi sumbangan yang lebih berkesan yang boleh menguntungkan syarikat khasnya ke arah pembangunan negara

Untuk menyokong keberkesanan Skim Latihan Berbantu Komputer, Majlis Pembangunan Sumber Manusia telah mewujudkan Skim Teknologi Maklumat bagi membolehkan majikan membeli beberapa komputer untuk tujuan latihan. Kelulusan bantuan kewangan bagi skim ini dihadkan kepada RM25,000.00 untuk tiga tahun sekali. Sehingga Januari, 2000 sejumlah RM12.2 juta peruntukan kewangan telah diluluskan bagi tujuan tersebut Di samping itu, Majlis Pembangunan Sumber Manusia telah memperkenalkan Skim Pembelian Alat Bantuan Latihan dan Penyediaan Kemudahan Bilik Latihan. Skim ini melayakkan majikan mendapat bantuan kewangan sebanyak 80% untuk kemudahan bilik latihan tertakluk kepada had maksimum 20 % daripada jumlah sumbangan levi tahun sebelumnya. Bagi tujuan ini, sebanyak RM 6.4 juta bantuan kewangan telah diluluskan oleh Majlis Pembangunan Sumber Manusia.

Kesemua skim tersebut bertujuan untuk menggalakkan majikan supaya terus bergiat dalam menjalankan latihan dalaman mereka masing-masing. Dengan adanya kemudahan perisian latihan dan komputer serta bilik latihan yang lengkap, saya berharap majikan dapat mempertingkatkan lagi proses melatih semula dan peningkatan kemahiran pekerja melalui latihan dalaman.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pihak MATAC kerana telah berjaya menggunakan pendekatan baru melalui latihan berbantukan komputer dalam melatih semula untuk mempertingkatkan kemahiran pekerja-pekerja dalam industri tekstil dan pakaian. Langkah ini seharusnya diberi pujian kerana Majlis Pembangunan Sumber Manusia telah mengambil strategi yang tepat pada masanya untuk memberi bantuan geran latihan sebanyak RM300,000 bagi membolehkan majikan-majikan industri tekstil dan pakaian memperolehi faedah latihan melalui Latihan Berasaskan Komputer. Usaha ini boleh dianggap sebagai satu inovasi pendekatan latihan yang baru diamalkan dengan meluas di Malaysia. Pembangunan perisian latihan ini sesungguhnya dapat dimanfaatkan oleh kesemua ahli MATAC dan diharap akan menjadi contoh kepada industri-industri atau syarikat-syarikat yang lain. MATAC telah mengambil satu langkah yang bijak untuk memperkukuhkan lagi keupayaan sumber manusia bagi ahli-ahlinya untuk menghadapi cabaran alaf baru. Sehubungan dengan ini, industri lain yang ingin membangunkan perisian Latihan Berbantukan Komputer Multimedia bolehlah membuat permohonan kepada Majlis Pembangunan Sumber Manusia.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa proses melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja adalah merupakan satu usaha yang berterusan seiring dengan pembangunan teknologi pengeluaran yang baru untuk membolehkan kita terus berdaya saing dalam dunia perniagaan yang semakin global. Saya menyeru agar semua majikan yang diliputi di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia akan terus berusaha untuk mempertingkatkan aktiviti latihan, terutamanya latihan dalaman.

Akhir kata saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MATAC dan pihak-pihak lain yang terlibat untuk menjayakan majlis ini. Maka dengan sukacitanya saya merasmikan Majlis Pelancaran "Interactive Multimedia Computer Aided Training" anjuran MATAC.

 

DATUK DR. FONG CHAN ONN
MENTERI SUMBER MANUSIA
Februari 2000