Versi Inggeris
 

Pengenalan Skim Latihan SBL-KHAS pada 16 September 2001 adalah lanjutan kepada pelaksanaan Skim SBL . Tujuan skim ini adalah untuk menggalakkan lagi majikan melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dalam usaha mempergiatkan aktiviti latihan semula pekerja walaupun dalam keadaan majikan menghadapi masalah aliran tunai dengan menggunakan baki levi yang sedia ada.

Di bawah Skim SBL, majikan perlu membayar terlebih dahulu yuran latihan kepada penyedia latihan dan kemudiannya menuntut daripada PSMB setelah tamat latihan, manakala di bawah Skim SBL-KHAS, majikan tidak perlu membayar yuran latihan atau hanya perlu membayar sejumlah kecil amaun yuran latihan kepada penyedia latihan tertakluk kepada had maksimum yang ditetapkan oleh PSMB. Yuran latihan ini akan dibayar oleh PSMB kepada penyedia latihan bagi pihak majikan dan akan ditolak daripada akaun levi majikan.

Sungguhpun Skim SBL-KHAS ini dilaksanakan mirip kepada Skim PERLA, namun Skim PERLA masih terus dilaksanakan dan para majikan masih boleh menggunakan skim ini untuk mendapat bantuan kewangan apabila melatih pekerja yang melibatkan skim berkenaan. Di antara kebaikan Skim SBL-Khas adalah kandungan kursusnya boleh diubahsuai mengikut keperluan latihan majikan asalkan tidak melebihi 50% daripada program asal yang telah diluluskan oleh PSMB.

Skim SBL-KHAS ini meliputi program-program latihan yang dijalankan secara umum (publicy conducted courses) dan juga latihan dalaman (customised in-house training) yang dikendalikan oleh pengajar luar. Majikan perlu mengemukakan permohonan geran latihan sebelum latihan bermula. Tuntutan oleh majikan bagi lain-lain kos latihan dan tuntutan daripada penyedia latihan bagi pembayaran yuran latihan hendaklah dikemukakan selepas tamat latihan. Adalah diharapkan melalui kemudahan ini majikan akan mempergiatkan lagi aktiviti latihan semula pekerja.

Pada asalnya skim ini adalah bersifat sementara, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya iaitu untuk menggerakkan majikan menggiatkan latihan dalam keadaan kegawatan ekonomi yang melanda pada masa tersebut. Memandangkan skim ini memberi impak positif serta mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan majikan, PSMB melalui Lembaga Pengarahnya dalam mesyuarat bertarikh 18 September 2003 telah memutuskan bahawa Skim SBL-KHAS diteruskan dan dijadikan skim yang kekal sepertimana skim-skim yang lain setelah tempoh pelaksanaannya secara sementara tamat pada 15 September 2003. Prosedur permohonan dan tuntutan geran latihan di bawah skim ini adalah sama seperti di para 4 dan 5, Pekeliling Majikan Bil. 11/2001 bertarikh 29 Ogos 2001.

 
PSMB