Pendaftaran sebagai Majikan PSMB

LATAR BELAKANG

DEFINASI INDUSTRI YANG DILIPUTI DI BAWAH AKTA

TARIKH LIABILITI

LATAR BELAKANG

Pembangunan Sumber Manusia Berhad telah dikorporatkan pada 16 Mei 2001 di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 (Akta 612). Seksyen 13(1) Akta tersebut menetapkan bahawa tiap-tiap majikan baginya Akta ini terpakai hendaklah mendaftar dengan Perbadanan dalam masa dan mengikut cara sebagaimana yang ditetapkan. Di samping itu, Peraturan 4(1) Peraturan-peraturan Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 menetapkan juga bahawa seseorang majikan yang baginya Akta ini terpakai pada tarikh permulaan kuatkuasa Peraturan-peraturan ini hendaklah mengemukakan Borang Pendaftaran Majikan dalam Borang 1, kepada Perbadanan tidak lewat daripada tiga puluh hari selepas tarikh permulaan kuatkuasa peraturan-peraturan ini. Di bawah seksyen 13(2) akta berkenaan pula, majikan-majikan yang gagal berbuat demikian adalah dianggap sebagai telah melakukan satu kesalahan dan jika sabit boleh dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara bagi tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

DEFINASI INDUSTRI YANG DILIPUTI DI BAWAH AKTA PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA BERHAD, 2001 (AKTA 612) SEPERTI BERIKUT:-

A. Sektor Perkilangan

Pengilangan, iaitu pembuatan atau pemprosesan sesuatu barang dengan menggunakan buruh atau mesin atau kedua-duanya, termasuk mengubah bahagian atau komponen kepada barang lain yang mempunyai sifat atau ciri yang berbeza, melalui pengubahan, pengadunan, penghiasan, pengemasan atau selainnya mengawet atau menyesuaikan apa-apa barang atau bahan supaya ia dapat digunakan, dijual, diangkut, dihantar atau dilupuskan, termasuk pembinaan kapal atau pemasangan bahagian-bahagian kapal.

1.1 Majikan yang mempunyai 50 orang pekerja dan ke atas.

1.2 Majikan yang mempunyai 10 hingga 49 orang pekerja dengan modal berbayar RM2.5 juta dan lebih.

1.3 Majikan yang mempunyai 10 hingga 49 orang pekerja dengan modal berbayar RM2.5 juta dan ke bawah. Majikan di bawah kategori ini diberi pilihan untuk mendaftar atau sebaliknya dengan PSMB. Majikan yang memilih untuk mendaftar perlu membayar levi pada kadar 0.5% daripada gaji pokok dicampur dengan elaun tetap setiap bulan.

B. Sektor Perkhidmatan

Majikan yang mempunyai 10 orang pekerja dan ke atas bagi industri-industri yang dinyatakan di atas kecuali perkhidmatan pasar raya besar, pasar raya dan gedung serbaneka yang perlu mencapai bilangan 50 orang pekerja dan ke atas.

Apabila telah memenuhi keperluan tersebut maka adalah menjadi tanggungjawab majikan mengemukakan borang pendaftaran majikan dalam Borang 1 kepada Perbadanan tidak lewat daripada tiga puluh hari selepas tarikh Akta menjadi terpakai baginya. Walau bagaimanapun, Perbadanan boleh dalam mana-mana keadaan membuat apa-apa lanjutan masa sebagaimana yang difikirkannya patut bagi mengemukakan Borang 1.

(i) Hotel, iaitu penyediaan dengan dibayar fi, tempat penginapan, dalam hotel, rumah penginapan, rumah tumpangan, rumah sewaan, chalet, tempat peranginan atau tempat serupa itu yang lain, sama ada yang terbuka kepada orang awam atau terhad kepada anggota sesuatu organisasi tertentu;

ii) Pengangkutan udara, iaitu penyediaan pengangkutan melalui udara, dengan dibayar fi atau berasaskan suatu kontrak, bagi penumpang atau angkutan sama ada dengan perkhidmatan biasa atau carter persendirian, termasuk perkhidmatan pembaikpulihan, pembaikan, penyenggaraan dan pembersih pesawat udara;

iii) Perniagaan pengendalian pelancongan, iaitu apa-apa perniagaan menguruskan atau mengendalikan pelancongan dalam negeri sahaja atau perniagaan agensi pengembaraan untuk jualan atau mendapatkan komisen;

iv) Telekomunikasi, iaitu penyediaan suatu sistem bagi pembawaan, dengan menggunakan tenaga elektrik, magnet, elektro-magnet, elektro-kimia atau tenaga elektro-mekanik bagi-

(A) percakapan, muzik dan bunyi lain;

(B) imej tampak;

(C) isyarat yang menyampaikan (sama ada antara orang dengan orang, benda dengan benda atau orang dengan benda) apa-apa perkaraselain dalam bentuk bunyi atau imej tampak; atau

(D) isyarat yang digunakan bagi menggerakkan atau mengawal mesin atau radas;

v) Penghantaran angkutan, iaitu apa-apa perkiraan angkutan melalui udara, laut atau darat dari pangkalan muatan/asal ke pangkalan pemunggahan/destinasi, atau penyediaan kegiatan logistik menyeluruh dan termasuk perniagaan ejen penghantar, iaitu yang melibatkan kegiatan mendapatkan pelepasan kastam bagi angkutan, tetapi tidak termasuk pengangkutan penghantaran oleh unit perniagaan bagi penggunaan mereka sendiri;

vi) Perkapalan, iaitu pengendalian vesel bagi pengangkutan angkutan atau penumpang ke luar negara atau menyusuri pantai, termasuk perkhidmatan menunda di laut lepas atau di dalam pelabuhan, pengendalian vesel untuk pengangkutan melalui sungai, terusan dan jalan air pedalaman lain, termasuk feri yang dikendalikan menyeberangi sungai, tasik dalaman atau di dalam pelabuhan, perkhidmatan bot tambang, bot persiaran, penundaan atau kapal tunda di jalan air pedalaman, dan termasuk pembaikpulihan, pembaikan, penyenggaraan dan pembersihan kapal;

vii) Pos atau kiriman cepat, iaitu penghantaran barang pos seperti surat, poskad, akhbar, buku, dokumen, risalah pola atau paket contoh, paket kecil, bungkusan, bungkusan atau apa-apa barang atau benda lain yang boleh dihantar melalui pos atau perkhidmatan kiriman cepat;

viii) Pengiklanan, iaitu penyediaan perkhidmatan pengiklanan oleh agensi pengiklanan untuk aatau bagi pelanggan dengan dibayar fi atau berasaskan suatu kontrak dalam pelbagai jenis media atau melakukan kerja penyelidikan pasaran;

ix) Perkhidmatan komputer, iaitu pembangunan atau penambahbaikan perisian, penyenggaraan perisian atau pengkalan data, penyepaduan atau perangkaian sistem, pembekalan kakitangan secara kontrak, pengurusan kemudahan, pemasangan komputer atau perkhidmatan penyenggaraan, atau penyediaan perkhidmatan nasihat atau khidmat runding;

x) Tenaga, iaitu membekalkan dan menyediakan tenaga elektrik atau elektrik apabila dijanakan, dihantar, diagihkan atau digunakan bagi apa-apa maksud kecuali bagi penghantaran apa-apa perhubungan atau isyarat;

xi) Latihan, iaitu perniagaan menyediakan latihan atau kemahiran yang umum atau khusus oleh mana-mana pertubuhan perbadanan atau kumpulan orang tetapi tidak termasuk latihan oleh penyedia latihan Kerajaan atau Kerajaan mana-mana negeri;

xii) Pendidikan tinggi, iaitu penyediaan ajaran atau latihan mengenai atau pengajaran kursus pengajian yang membawa kepada penganugerahan sijil, diploma atau ijazah sesudah tamat mengikuti dengan jayanya kursus pengajian itu atau penyediaan pendidikan jarah jauh, tetapi tidak termasuk pendidikan tinggi atau pendidikan jarak jauh yang disediakan oleh institusi pendidikan yang ditubuhkan dan diuruskan secara langsung oleh Kerajaan atau Kerajaan mana-mana Negeri atau disediakan oleh mana-mana Universiti atau Kolej Universiti yang ditubuhkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] atau Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173] atau Politeknik Ungku Omar yang ditubuhkan di bawah Akta Politeknik Ungku Omar 1974 [Akta 145];

xiii) Jualan langsung, iaitu jualan pintu ke pintu atau jualan pesanan pos mengikut pengertian Akta Jualan Langsung 1993 (Akta 500);

xiv) Perkhidmatan pelabuhan, iaitu pengusahaan semua atau apa-apa kerja daripada apa-apa perihalan yang berkaitan dengan pengurusan atau pengendalian sesuatu pelabuhan oleh mana-mana pelabuhan persendirian, pelabuhan pedalaman atau, mana-mana syarikat, firma atau orang yang diberi kuasa dengan dilesenkan untuk mengusahakan kerja sedemikian;

xv) Perkhidmatan sokongan dan penyenggaraan kejuruteraan, iaitu pengendalian, pengujian atau penyenggaraan kejuruteraan elektrik, elektronik atau perisian atau sistem mekanikal dan kelengkapan, termasuk tetapi tidak terhad kepada, pengujian dan pemasangan mana-mana kelengkapan baru yang perkhidmatannya diberikan kepada mana-mana syarikat, perniagaan, kilang atau pihak berkuasa awam;

xvi) Penyelidikan dan pembangunan, iaitu penjalanan aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang termasuklah:-

(a) penyelidikan tulen seperti kerja eksperimental atau teoretikal yang dijalankan terutamanya untuk mendapatkan pengetahuan saintifik atau teknikal yang baru;

(b) penyelidikan gunaan seperti penyelidikan asal atau kritikan yang dijalankan untuk mendapatkan pengetahuan saintifik atau teknikal yang baru, atau yang menjurus kepada objektif praktikal yang tertentu; dan

(c) penggunaan pengetahuan saintifik atau teknikal bagi menghasilkan material, peranti, produk atau perkhidmatan yang baru atau yang telah diperbaik secara substantif untuk memasang proses atau sistem yang baru sebelum permulaan pengeluaran atau aplikasi komersial, atau memperbaik secara substantif material, peranti, produk atau perkhidmatan yang telah dihasilkan atau dipasang;

xvii) Perkhidmatan penggudangan, iaitu penyediaan gudang dalam bon atau mana-mana tempat lain yang dilesenkan bagi penggudangan barang-barang berduti yang termasuklah semua barang yang tertakluk kepada pembayaran duti kastam dan yang ke atasnya duti itu masih belum dibayar lagi;

xviii) Perkhidmatan keselamatan, iaitu penyediaan perkhidmatan keselamatan persendirian yang termasuklah penyediaan pengawal dan rondaan, khidmat runding keselamatan, kereta berperisai atau penyediaan nasihat berhubung dengan keselamatan harta, premis, kakitangan, loji dan kelengkapan;

xxi) Perkhidmatan hospital swasta, iaitu penyediaan rawatan atau wad kepada pesakit dalam mana-mana premis selain hospital atau institusi Kerajaan dan termasuklah mana-mana rumah bersalin swasta tetapi tidak termasuk rumah jagaan kejururawatan swasta mengikut pengertian Akta Kemudahan dan Pekhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586); dan

i) Perkhidmatan pasar raya besar, pasar raya dan gedung serbaneka, iaitu penjualan item seperti barang-barang runcit, keperluan harian, hasil tanaman, daging, konfeksi, minuman, perkakasan domestik dan keperluan tandas, pakaian lelaki, pakaian wanita, pakaian kanak-kanak dan apa-apa jenis pakaian lain, barangan elektrik, perabot atau apa-apa barang lain untuk jualan.

TARIKH LIABILITI

Seseorang majikan patut berdaftar apabila telah mencukupi syarat sebagaimana yang disebutkan di bawah Jadual Pertama Akta.